Bagaimana cara mudah untuk bersalin? Pelbagai tips dan petua yang boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian sebagai ibu hamil untuk melancarkan kelahiran bayi anda terutamanya apabila melahirkan bayi sulong. Ini kerana ibu yang mengandung anak pertama sememangnya tiada pengalaman dalam melahirkan bayi.
Salah satu daripadanya ialah, memastikan anda mengikuti petua orang tua dahulu. Kebiasaannya anda digalakkan untuk mengamalkan minyak kelapa dara dan juga minyak zaitun. Baik untuk diminum mahupun sebagai medium untuk mengurut, terdapat banyak khasiat yang berguna yang boleh diambil daripada minyak ini khususnya untuk melancarkan peredaran darah dan memastikan kesihatan ibu dan bayi dalam kandungan
Selain itu, amalan pemakanan yang sihat juga boleh membantu memudahkan anda bersalin. Perbanyakkan memakan buah-buahan yang mengandungi serat tinggi boleh membantu meningkatkan hormon wanita agar membantu proses perkembangan bayi berjalan lancar. Tambahan pula, lebihkan juga untuk memakan makanan yang mengandungi protein dan kalsium tinggi untuk meningkatkan imunisasi ibu hamil agar kesihatan bayi terpelihara. Ianya juga dapat membantu bayi di dalam kandungan membesar dalam keadaan sihat mengikut berat yang disarankan agar rahim anda dapat melahirkan bayi dalam keadaan normal.
Pernahkah anda mengamalkan senaman untuk ibu mengandung? Selain daripada boleh mengurangkan kesakitan ketika hamil pada trimester ketiga, senaman untuk ibu hamil juga sangat membantu untuk memudahkan ibu melahirkan bayi secara normal. Sebagai contohnya, senaman pernafasan & senaman pelvis boleh membantu untuk mengurangkan risiko perinium terkoyak ketika melahirkan. Senaman pernafasan pula untuk memudahkan kawalan pernafasan ibu ketika melahirkan agar tidak keletihan & tercungap-cungap ketika meneran.
Jangan pernah tinggalkan temu janji klinikal. Ini sangat penting untuk anda mengawasi perkembangan bayi agar kecergasan bayi dapat dipantau dari masa ke semasa terutama jika kehamilan anda sudah mencecah 28 minggu & keatas. Ramai yang mengambil remeh perkara, tetapi inilah salah satu cara yang terbaik untuk anda mendapatkan pendidikan kesihatan untuk ibu hamil. Pendidikan kesihatan juga amat penting bagi memastikan bayi anda sihat sepanjang masa & membantu anda dalam proses sebelum melahirkan agar kelahiran berjalan dengan lancar.
Lain pula tips nya jika anda sudah mengalami kontraksi & sudah bersedia untuk melahirkan tetapi pembukaan rahim masih kurang. Oleh itu, rajinkanlah untuk mengamalkan aktiviti berjalan itik sebagai salah satu senaman untuk mempercepatkan pembukaan rahim ataupun sekiranya tidak larat, anda boleh juga cuba untuk melakukan sujud ataupun duduk bercangkung. Teknik ini amat berkesan bagi mempercepatkan pembukaan rahim agar anda boleh melahirkan bayi secara normal.
Secara ringkasnya, amalan seharian kita memainkan peranan penting dalam tempoh anda untuk menjangka kelahiran anda. Adalah amat penting untuk memastikan proses kehamilan berjalan lancar untuk memudahkan anda melahirkan bayi dalam keadaan normal. Banyakkanlah membaca untuk mendapatkan ilmu yang lebih mengenai tips dan petua untuk mudah bersalin.