Jerawat boleh menyebabkan masalah fizikal, emosi dan psikologi.
Secara fizikalnya, jerawat antara tanda-tanda gaya pemakanan tidak sihat. Pemakanan yang mengandungi terlalu banyak minyak, lemak dan berkolesterol tinggi boleh menghasilkan pertumbuhan jerawat yang banyak.
Kemudian, masalah secara emosi dan psikologi juga berlaku apabila melihat rupa fizikal yang mempunyai jerawat yang banyak. Perkara ini boleh memberi kesan kepada keyakinan dan keterampilan diri. Ia boleh mendorong kepada kemurungan dan tekanan.
Masalah psikologi adalah lebih berbahaya berbanding masalah fizikal kerana memerlukan rawatan yang lebih halus. Sekiranya masalah fizikal boleh dirawat dengan sapuan dan boleh dilihat kesannya, berbeza pula dengan masalah psikologi.
Orang yang dilanda tekanan dan kemurungan cenderung untuk buntu fikiran. Malah, ada yang sanggup mengambil tindakan drastik dan membunuh diri. Bagi yang lain pula, mereka terpaksa menghadiri kaunseling dan terapi untuk membina semula keyakinan dan kepercayaan kepada diri.
Kajian menunjukkan impak masalah jerawat teruk pada psikologi seseorang boleh menjejaskan emosi, sama tahapnya dengan menghidap asma, epilepsi, diabetes, dan arthritis.
Ketidakselesaan dan kekhuatiran menjalani kehidupan dengan memiliki masalah jerawat menjadikan penghidap menjadi terasing daripada masyarakat, cenderung untuk mengalami gemuruh, kurang daya semangat, berasa malu yang amat, sehingga boleh membawa kepada kesan psikomatik ( kesakitan fizikal yang berpunca daripada pemikiran psikologi), malah hingga kepada fikiran berbentuk memudaratkan diri ( contohnya keinginan untuk membunuh diri).
Mereka yang menghadapi masalah jerawat juga lebih cenderung untuk menjadi pemarah, suatu sifat yang dikaitkan dengan masalah jantung. Hal ini kerana mereka menjadi mudah tersinggung apabila ditegur serta rasa terhina apabila disyorkan pelbagai jenis solusi namun tidak membuahkan apa-apa hasil. Ini juga akan menambahkan kerumitan kepada kehidupan sosial penghidap, dimana sikap negatif mereka tidak disenangi orang di sekeliling, menjadikan mereka seolah-olah diasingkan.